Konteks Komunikasi Dan Kepentingan Memahami Isi Kandungan Komunikasi

1.0 PENGENALAN
Kajian ini mengkaji tentang konteks komunikasi dan kepentingan memahami isi kandungan komunikasi tersebut. Komunikasi adalah satu proses atau kegiatan penyampaian pesanan daripada seorang individu kepada individu lain untuk mencapai tujuan tertentu.  Komunikasi adalah prasyarat kehidupan manusia. Kehidupan manusia akan berubah sunyi apabila tidak berlakunya proses komunikasi. Konteks komunikasi merupakan interaksi untuk menyampaikan maklumat atau pesanan antara individu dengan individu yang lain secara berkesan. Tanpa komunikasi atau interaksi antara manusia baik secara perseorangan, kelompok ataupun organisasi proses penyampaian maklumat tidak mungkin akan terjadi.  Dua orang yang melakukuan interaksi mestilah melakukan aksi dan reaksi.Untuk menjadikan konteks komunikasi dapat diterima secara berkesan, individu yang menerima maklumat perlu memahami setiap isi kandungannya.
Fungsi komunikasi boleh terbahagi kepada empat melalui teori William I Gondon iaitu komunikasi sosial, komunikasi ekspresif, komunikasi ritual, dan komunikasi instrumental.Fungsi komunikasi sebagai komunikasi sosial adalah penting untuk membentuk konsep diri kita, aktualisasi diri dan untuk kelangsungan hidup.  Komunikasi ekspresif dapat dilakukan secara sedirian mahupun dalam kelompok.  Komunikasi ini digunakan untuk menyampaikan perasaan atau emosi kita.  Komunikasi ritual sering dilakukan secara kolektif.  Komunikasi ini digunakan untuk menyampaikan maklumat terhadap adat, budaya, bangsa, negara, ideologi atau agama.Komunikasi instrumental mempunyai beberapa tujuan umum iaitu menginformasi, mengajar, mendorong, mengubah sikap dan keyakinan untuk melakukan sesuatu tindakan.  Di samping itu, fungsi komunikasi menurut Onong Uchjana Effendy terbahagi kepada empat iaitu menginformasikan (to inform), mendidik(to educated), menghibur (to entertain) dan mempengaruhi (to influence).
          Cara interaksi atau komunikasi sangat penting bagi menyampaikan maklumat secara berkesan.  Konteks komunikasi bukan sahaja dipandang dari sudut pertuturan tetapi eksperesi badan, idiom, situasi, bahasa, emosi, penutur, masa dan sebagainya. Dengan cara ini maklumat dapat disalurkan dengan berkesan.



2.0 PERBINCANGAN
2.1 Makna Dalam Konteks Komunikasi
Memahami konteks komunikasi adalah sama pentingnya dengan memahami isi kandungan tersebut.  Terdapat beberapa ciri-ciri konteks komunikasi iaitu penutur dan pendengar, topik perbicaraan, latar belakang dan tujuan komunikasi.
2.1.1 Penutur dan Pendengar
Perkara yang paling penting bagi seorang pendengar ialah mengetahui identiti dan latar belakang sebenar penutur. Identiti dan latar belakang akan membolehkan seorang pendengar mengetahui dengan tepat mesej yang ingin disampaikan oleh penutur. Identiti dan latar belakang yang kurang jelas akan menyebabkan mesej yang ingin disampaikan kurang jelas. Status dan gelaran pendengar juga amat penting kerana pendengar akan mentafsir sesuatu ujaran berdasarkan pangkat dan gelaran yang dimilikinya. Makna sesuatu ungkapan akan bergantung kepada siapa penuturnya. Contoh ayat bagi ciri penutur:‘ada cerita baharu hari ini’.Jika penuturnya seorang wartawan, makna mesej yang ingin disampaikan melalui ayat di atas pastinya mengenai berita atau gosip mengenai artis.  Seterusnya,  penuturnya seorang yang berstatus, sebagai contoh ahli perniagaan, maka mesej yang ingin disampaikan melalui ayat di atas adalah cerita mengenai projek-projek baru yang boleh dibincangkan.
Contoh ayat bagi ciri pendengar: ‘rajinnya budak itu’. Jika penuturnya seorang guru maka makna sebenar yang ingin disampaikan adalah berkaitan pelajarnya yang rajin.Selain itu, penuturnya seorang kakak atau abang dalam sesebuah institusi keluarga maka penuturnya bermaksud memuji / member pujian kepada adiknya atau sesiapa yang lebih muda dalam keluarga tersebut seperti anak saudara.

2.1.2 Topik Perbicaraan
Mengetahui topik perbicaraan amat penting dalam sesuatu konteks komunikasi. Jika penutur dan pendengar mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sama maka penutur dan pendengar akan dapat memahami dengan lebih jelas topik yang sedang dibicarakan. Jika topik yang sedang dibicarakan tidak diketahui oleh pendengar maka matlamat topik perbicaraan itu tidak akan tercapai.
2.1.3 Latar belakang komunikasi atau perbualan
Bagi ciri konteks komunikasi latar belakang komunikasi atau perbualan, ciri ini melibatkan masa, tempat, situasi dan hubungan antara penutur dan pendengar.Latar belakang komunikasi atau perbualan juga memainkan peranan yang penting kerana hal ini dapat membolehkan pendengar memahami makna ujaran dengan lebih tepat.
2.1.4 Tujuan Komunikasi
Komunikasi biasanya berlaku disebabkan oleh pelbagai tujuan seperti suasana formal atau tidak formal, temu bual, ucapan atau perbualan seharian.Tujuan komunikasi dapat memberikan gambaran keseluruhan mengenai sesuatu peristiwa.Tujuan komunikasi juga dapat memberikan maklumat tentang komunikasi.Nada suara, mimic muka dan gerak badan dapat membantu pendengar memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penutur.

2.2Kepentingan Konteks Komunikasi
Komunikasi adalah satu interaksi penting yang harus dilakukan oleh semua manusia sama ada secara langsung atau tidak langsung. Komunikasi merupakan proses penyampaian maklumat, idea, fikiran, dan perasaan seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain. Konteks sangat mempengaruhi bentuk bahasa yang digunakan oleh penutur kerana konteks penting dalam menafsirkan ayat.
Berikut adalah kepentingan konteks komunikasi:
2.2.1 Memberi Informasi
Memberi informasi merupakan proses penyampaian maklumat kepada seseorang secara langsung atau tidak langsung. Berbagai-bagai bentuk maklumat disampaikan oleh penutur dalam setiap situasi.Penyampaian maklumat atau informasi yang berkesan penting untuk memahami isi kandungan yang terdapat dalam konteks komunikasi tersebut.
2.2.2 Mengelak salah faham
Memahami makna sesuatu komunikasi sama ada tersurat atau tersirat penting untuk mengelakkan sebarang tafsiran salah. Ada pelbagai jenis komunikasi yang sering digunakan untuk memberi maksud kepada manusia tentang sesuatu perkara seperti penggunaan isyarat, simbol dan lain-lain.Oleh itu, konteks komunikasi penting untuk difahami untuk bagi mengelakkan salah faham berlaku.

2.3 MEMAHAMI KONTEKS KOMUNIKASI SAMA DENGAN MEMAHAMI ISI KANDUNGAN SESUATU KENYATAAN
2.3.1 SEMANTIK
Semantik ialah bidang yang mengkaji makna dan maksud sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa.Semantik sebagai satu kajian makna yang berdasarkan ekspresi linguistik. Semantik terbahagi kepada lima aspek iaitu makna denotatif dan konotatif, konsep, perkataan dan rujukan, makna dalam konteks, perkaitan makna dalam perkataan, hubungan makna dalam kebudayaan dan perubahan makna.  Semantik ialah makna tersurat di dalam sesuatu perkataan.
            2.3.2 MAKNA DENOTATIF DAN MAKNA KONOTATIF
Makna denotatif bermaksud makna pokok iaitu makna asli, asal atau makna sebenar sesuatu perkataan.Makna konotatif ialah makna sesuatu perkataan yang dilihat dari segi nilai yang diberikan oleh masyarakat sama ada nilai positif atau negatif.Contohnya: dari segi makna denotatif, bilis dan  haruan merujuk kepada jenis-jenis ikan. Dari segi makna konotatif pula, bilis dan haruan mendukung makna yang lebih luas.Ikan bilis merujuk kepada ‘orang biasa’ manakala ikan haruan merujuk kepada mereka yang berkedudukan tingi dan berpagkat.Begitu juga dengan perkataan wanita, perempuan, dan betina.Perkataan wanita mempunyai nilai rasa yang tinggi berbanding dengan perempuan, manakala perkataan betina sering dikaitkan dengan nilai rasa yang rendah dan tidak bermoral.
Makna konotasi juga disebut makna emotif atau makna evaluatif. Terdapat kata-kata seerti (sinonim) yang mempunyai makna denotasi yang sama tetapi makna konotasi yang berbeza. Contohnya Kata mati dan meninggal dunia membawa maksud denotasi perstiwa jiwa seseorang meninggal jasadnya tetapi dari segi makna konotasi, penggunaan perkataan meninggal dunia adalah lebih sopan daripada pengunaan perkataan mati.
2.3.3 Makna Dalam Konteks Makna
Sesuatu perkataan yang diujarkan boleh diketahui dengan melihat konteks penggunaan perkataan itu.Contoh : Tapak kasut sudah haus. (haus bermakna berkurangan tebalnya kerana banyak dipakai) Saya berasa haus kerana cuaca panas. (haus bermaksud berasa kering tekak atau dahaga). Kanak-kanak itu haus akan kasih sayang ibunya (haus bermaksud sangat ingin kepada).
 2.3.4 Hubungan Makna dengan Kebudayaan
Penggunaan dan pemilihan perkataan juga berhubung dengan kebudayaan sesuatu masyarakat.Contoh :aku : digunakan dalam hubungan yang rapat untuk menimbulkan kemesraan.Saya : digunakan dalam hubungan biasa Patik:digunakan oleh orang biasa untuk merendah diri apabila berhubung dengan golongan raja.Beta : khas untuk raja merujuk dirinya.
2.3.5 Perubahan Makna
Makna sesuatu perkataan itu akan berubah mengikut perubahan masa, teknologi dan hubungan sosial dalam masyarakat.Contoh : menternak (makna lama : memelihara binatang darat)  (makna baru: termasuk memelihara hidupan air seperti ikan dan udang)taman (makna lama : tempat indah dengan tumbuhan bunga)  (makna baru : termasuk kawasan perumahan dan perindustrian) Tuan (makna lama : untuk lelaki dan perempuan. Contoh Tuan kadi danTuan puteri)  (makna baru : lelaki sahaja) .

2.3.6 Bentuk-Bentuk Makna daripada Hubungan Semantik
Bentuk-bentuk makna yang timbul daripada hubungan semantik ialah sinonim, antonim, hiponim, meronim, polisim, homonim, homofon, dan homograf.Sinonim merupakan kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama Contohnya: pandai, pintar cerdik, bijak, mahir, jerit, pekik, tempik, sorak, raung, wafaat. Hiponim ialah kata yang mempunyai lingkungan dalam struktur makna.  Contoh : perabot (mempunyai makna umum)  Kerusi, meja, almari, katil, sofa (mempunyai makna khusus) Jadi kata perabot merupakan kata hiponim yang melingkungi benda-benda seperti kerusi, meja, almari, katil dan sofa. Meronim ialah perkataan-perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada. Contoh : atap, dinding, lantai, tingkap, dapur ialah sebahagian daripada rumah dan oleh itu perkataan tersebut menjadi meronim kepada rumah. Polsimi merupakan perkataan yang mempunyai kesamaan bunyi dan ejaan, tertapi membawa makna yang pembagai apabila digunaka dalam konteks yang berbeza.
Contoh makna perkataan buah dapat dilihat dalam ayat berikut:
Makna
Contoh ayat
pendapat
Buah fikrannya amat bernas sekali
kekasih
Sayang sungguh si alif terhadap buah hatinya
makanan
Buah Melaka merupakan makana kegemaran saya sejak kecil lagi

Homonim ialah dua kata atau lebih yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya tetapi mempunyai makna yang berbeza. Homonim terbahagi kepada dua iaitu homofon dan homograf.Homofon : kata-kata yang sama sebutannya tetapi berbeza dari segi ejaan dan makna.Contoh : masa dan (media) massa.Homograf : kata-kata yang sama ejaannya dan mempunyai sebutan yang berbeza. Contoh : semak (belukar), semak (meneliti dan memeriksa semula)  Perang (war).

2.3.7 PRAGMATIK
Pragmatik ialah kajian mengenai makna perkataan dan kesan yang timbul daripada penggunaan bahasa dalam situasi tertentu.Dalam hal ini pengguna mempunyai pilihan dengan membuat beberapa pertimbangan sebelum sesuatu ujaran itu dikeluarkan. Contohnya seseorang guru boleh menegur pelajarnya yang datang lewat ke sekolah melalui perbagai cara seperti:
                             I.        “Mengapakah awak lewat hari ini, siti?”
                           II.        “Awal awak datang ke sekolah hari ini siti?”
                         III.        “Awak bangun lewat ke hari ini siti?”
Bagi ayat (I), guru tersebut menegur pelajarnya secara langsung sebab kelewatannya ke sekolah, sementara bagi ayat (II) dan (III), jelas menunjukkan bahawa guru tersebut menegur pelajarnya secara sindiran. Hal ini demikian kerana seseorang itu mempunyai pelbagai pilihan dan cara untuk menyatakan sesuatu hajat dan persoalan melalui pelbagai ragam ujaran, saa ada secara sindiran, kias ibarat, berselindung di sebalik kata-kata dan sebagainya. Oleh itu, penting bagi memastikan sesuatu ujaran itu dapat mencerminkan hajat sebenar penutur dan untuk menimbulkan kesan yang diingini.
Kepentingan ilmu pragmatik ialah, bagi menentukan interprestasi sebenar sesuatu ujaran dan bagi membantu seseorang memperoleh makna yang terkandung secara tersirat dan tersurat. Kesimpulannya, Pragmatik ialah bidang yang mengkaji makna bahasa dalalam konteks  berdasarkan bahasa yang digunankan oleh masyarakat iaitu terdiri daripada peribahasa, kiasan, simpulan bahasa, perbilangan dan ragam bahasa.
peribahasa
1.Seperti gagak pulang ke benua
2.luka yang hilang, parut tinggal juga
Kiasan
1.mukannya terserlah seperti bulan purnama
2.suda gaharu cendana pula, suda tahu bertanya pula
Simpulan bahasa
1.makan angin
2.cepat tangan
Perbilangan
1.hutang darah dibalas darah, hutang nyawa dibalas nyawa
2.kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
Ragam bahasa
Sindiran- Amboi, ada hati juga kawan kita ini nak jadi menteri besar.
Mengejek- baik awak cermin muka dulu sebelum nak masuk meminang saya!
Bahasa terbalik- lain kali panjat pokok yang lebih tinggi, baru seronok.
Bahasa bukan-aku bukan bodoh. (cerdik)

2.3.2 LEKSIKAL
Leksikal adalah ilmu yang  berkaitan dengan kata, leksim dan kosa kata. Menurut Abdul Chaer (20012: 60) makna leksikal ialah bentuk ajektif yang diturunkan dengan bentuk nomina leksikon (vokabuler, kosa kata, perbendaharaan kata).  Kemudian dalam beberapa buku pelajaran bahasa sering dikatakan bahawa makna leksikal ialah makna seperti yang terdapat di dalam kamus.Makna leksikal biasanya mengenai dengan makna gramatikal. Kalau makna leksikal itu berkenaan dengan makna leksim atau kata yang sesuai dengan referennya, maka makna gramatikal adalah makna yang hadir sebagai akibat adanya proses gramatikal seperti proses afiksasi, reduplikasi, dan proses komposisi. 
Sebagai contoh: Perkataan tikus, makna leksikalnya adalah binatang yang menyebabkan timbulnya penyakit (Tikus itu mati diterkam kucing).

2.3.4 SINTAKSIS
Sintaksis merupakan satu bidang bahasa yang tugasnya adalah mengkaji rumus-rumus yang menerbitkan ayat gramatis dalam sesuatu bahasa serta hukum-hukum tentang susunan kata yang menyebabkan terhasil ayat sebagai sesuatu bentuk binaan bahasa yang lengkap.  Terdapat pelbagai definisi dapat diberikan untuk bidang ini.  Secara etimologi, sintaksis bermaksud menempatkan kata – kata secara bersama untuk menjadi kelompok kata atau ayat.
Pelbagai contoh ayat sintaksis iaitu konsep ayat terbitan.  Struktur permukaan berpunca daripada suatu ayat yang lain kecuali menyerupai ayat dasar.  Wujud pada peringkat struktur dalaman dan wujud dalam bentuk yang serupa.  Proses gramatis melibatkan pelaksanaan rumus transformasi yang berfungsi mengubah struktur memperluaskan sesuatu unsur dalam ayat atau frasa.  Proses transformasi mengakibatkan pengguguran,penyusunan dan perluasan.
Di samping itu, sintaksis melibatkan proses penerbitan ayat iaitu proses pengguguran. Pengguguran unsur-unsur daripada binaan ayat pada peringkat struktur permukaan unsur yang digugurkan tidak lagi wajib. Pengguguran FN sebagai subjek. Misalnya kata ganti nama diri orang kedua dalam ayat perintah.  Sebagai contoh, awak semua pergi dari sini! = pergi dari sini!

Seterusnya, proses penyusunan semula ayat yang asal diubah susunannya dan diterbitkan semula dalam satu struktur ayat gramatis yang baharu.  Mengakibatkan perubahan kata-kata lain pada ayat yang diterbitkan.
Berlaku melalui proses transformasi pasif.  Sebagai contoh, Ali memendang bola itu = bola itu di tendang oleh Ali.
Penyusunan semula FN sebagai objek.  Mengandungi objek tepat dan objek sipi. Misalnya, Ali menghadiahi Ahmad sebuah buku = Ali menghadiahkan sebuah buku kepada Ahmad. Penyusunan semula melalui ayat songsang.
Mengandungi keterangan tempat, masa, syarat dan musabab.
Di samping itu, proses peluasan ayat.  Penambahan unsur-unsur dalam ayat yang baharu disebut peluasan ayat.  Peluasan FN sebagai subjek diluaskan melalui pemancangan ayat relatif.
Contohnya, Budak itu adik saya.  Budak itu membaca buku = Budak yang membaca buku itu adik saya.
           

3.0 Kesimpulan

Dalam kajian ini kami dapat menyimpulkan bahawa konteks komunikasi itu adalah sama pentingnya dengan memahami isi kandungan komunikasi tersebut. Konteks komunikasi adalah satu proses atau kegiatan penyampaian pesanan daripada individu kepada individu yang lain.Terdapat beberapa elemen dalam kajian ini iaitu, ciri konteks komunikasi, kepentingan konteks komunikasi dan memahami konteks komunikasi sama dengan memahami isi kandungan sesuatu kenyataan.  Terdapat limaelemen dalam ciri konteks komunikasi iaitu penutur dan pendengar, topik perbicaraan, latar belakang dan juga tujuan komunikasi.  Penutur adalah seorang individu yang menyampaikan sesuatu maklumat kepada orang lain, manakala pendengar pula adalah  individu yang mentafsir seseuatu ujaran yang disampaikan oleh penutur tadi.  Manakala kepentingan konteks komunikasi terbahagi kepada dua iaitu memberi informasi dan mengelak salah faham.Memberi informasi merupakan proses penyampaian maklumat kepada seseorang secara langsung atau tidak langsung.  Mengelak salah faham perlu memahami makna sesuatu komunikasi sama ada ianya tersurat atau pun tersirat. Seterusnya, memahami konteks komunikasi sama dengan memahami isi kandungan sesuatu kenyataan, ia terdiri daripada leksikal, sintaksis, semantik dan pragmatik.Semantik ialah bidang yang mengkaji makna dan maksud sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa.Pragmaik pula ialah kajian mengenai makna perkataan dan kesan yang timbul daripada penggunaan bahasa dalam situasi tertentu.Semantik merupakan makna yang tersurat, manakala pragmatik ialah makna yang tersirat.Leksikal adalah ilmu yang  berkaitan dengan kata, leksim dan kosa kata. Manakala sintaksis dapat diertikan sebagai menempatkan kata-kata atau kelompok kata untuk membentuk ayat.Oleh itu, konteks komunikasi adalah penting dalam kehidupan seharian kita.

Comments

Popular Posts