Assalamualaikum dan salam blog untuk yayang semua..>__^v

Keunikan Adat Kematian Etnik Melanau Mukah, Sarawak

1.0      
  
Assalamualaikum dan salam blog untuk anda semua...^__^

Hari ni saya nak kongsikan satu keunikan budaya dimana ramai orang tak tahu kewujudannya. Ia merupakan salah satu mini kajian saya di UMS. Saya nak anda membuka fikiran untuk meneroka budaya asing disamping menghormati, menghargai dan mencintai kewujudan budaya asing.

Pengenalan

Kajian ini dijalankan dengan mengkaji tentang adat kematian masyarakat Melanau Mukah. Di dalam kajian ini, kebudayaan masyarakat melanau Mukah akan disentuh untuk diterokai dan dikaji keunikan adat kematian. Menurut pandangan ahli – ahli antropologi kebudayaan adalah keseluruhan sistem gagasan, tindakan dan hasil karya yang dipelajari oleh manusia dalam rangka kehidupan mereka. Malinowski (1944) yang dipetik oleh Saidatul Nornis Hj. M, mengemukakan bahawa segala sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Bagi kajian ini, adat kematian akan dikaji dengan dua aspek iaitu adat kematian dahulu dan adat kematian sekarang.

Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak yang mempunyai adat dan keistimewaannya tersendiri.      Majoriti masyarakat Melanau Mukah menetap di Sarawak yang diasingkan mengikut kelompok utama dalam pola penempatan Melanau di Sarawak iaitu kawasan Rajang, kawasan Mukah – Dalat, kawasan Balingian – Tatau, dan kawasan Bintulu. Menurut Yasir Abd Rahman (1987) penempatan utama bagi masyarakat  Melanau kebanyakannya terletak di muara sungai dan juga anak sungai di kawasan persisiran dari daerah Rajang sehingga daerah Bintulu.  Masyarakat Melanau Mukah telah mengamalkan adat resam ini sejak dahulu lagi sehingga kini.. Menurut Barth (1969), kumpulan etnik adalah kumpulan sosial yang mempunyai ciri2 perbezaan budaya. Oleh itu, ciri perbezaan budaya yang dimiliki oleh masyarakat Melanau Mukah perlu dikaji kerana mempunyai keunikan dan berbeza antara satu sama lain.

 Menurut Yasir Abd Rahman (1987), pada asasnya kepercayaan bagi masyarakat melanau mukah adalah bercorak animisme, dan mempercayai bahawa soal-soal penting dalam kehidupan yang berkaitan dengan alam serta kuasa ghaib. Menurut Dr. Tengku Intan Zarina Tengku Puji (2014), semua fenomena semula jadi dan persoalan yang sukar difahami juga dikatakan bersifat ghaib.  Nilai dalam sesbuah masyarakat adalah unsur yang diterima dan diguna pakai oleh sesebuah komuniti mengikut keperluan dan kesesuaian mereka (Mohammad Affendi Mohd. Nor, 1999).


Menerusi kajian ini yang memfokuskan dalam aspek adat kematian masyarakat Melanau Mukah, berikut merumuskan beberapa nilai yang didukung oleh masyarakat etnik itu sendiri yang turut melambangkan identiti budaya mereka. Antaranya nilai – nilai peribadi dan sosial dan ekonomi, nilai – nilai kepercayaan mistik dan kuasa – kuasa supernatural. Upacara kematian merupakan satu fenomena sosial yang dianggap kompleks disebabkan terlibat dalam pelbagai aspek.

Menurut Morris (1953:146) yang dipetik oleh Dzulfawati Haji Hassan, mengatakan bahawa dalam kalangan masyarakat Melanau Mukah pada zaman dahulu, waktu proses pengembumian merupakan waktu yang sangat penting bagi menunjukkan kekayaan dan kekuasaan seseorang Melanau. Morris (1953) yang dipetik oleh Dzulfawati Haji Hassan turut menyatakan lagi bahawa proses pengebumian pada masa sekarang walaupun masih menelan belanja yang besar seseorang yang telah meninggal dunia tak lagi diiringi oleh hamba yang akan dikorbankan dalam upacara yang akan menyatakan kedudukannya.

Adat dan tradisi mungkin sukar untuk dibezakan. Namun, adat sentiasa dikaitkan dengan anutan ataupun kepercayaan yang diakui boleh mendatangkan kemudaratan kepada individu atau kelompok dalam sesebuah masyarakat sekiranya tidak dituruti. Adat seperti yang dicatatkan oleh Burns (1989:2) yang dipetik oleh SaidatulNornis Hj. Mahali ialah… is a world used to refer to indigence culture, values and traditions. Melalui kertas kajian ini, akan dibincangkan tentang proses adat kematian dahulu dan adat kematian sekarang.







2.0        ADAT KEMATIAN MASYARAKAT MELANAU MUKAH

Kajian ini diteruskan dengan mengkaji adat kematian masyarakat melanau mukah dengan lebih terperinci. Menurut Yasir Abdul Rahman (1987), upacara kematian dan pengebumian mengikut adat kematian masyarakat Melanau Mukah secara umumnya memakan belanja yang banyak. Mengikut masyarakat Melanau Mukah roh orang mati mestilah dibantu dalam perjalanannya ke akhirat (likow matai) dengan mengadakan majlis berkabung dan sebagainya. Menurut Yasir Abdul Rahman (1987), likow matai ber maksud tentang maksud orang mati. Bukan itu sahaja, upacara tersebut haruslah diadakan secara besar – besaran sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan keluarga dan sanak saudara terhadap si mati itu.
         
Morris (1953: 146) yang dipetik oleh Saidatul Nornis Hj. Mahali, menyatakan bahawa dalam kalangan masyarakat melanau pada zaman lampau, waktu pengebumian dan selepasnya merupakan waktu yang sangat penting bagi menunjukkan kekayaan dan kekuasaan masing - masing. Jika dilihat pada zaman kerajaan dahulu, jenazah raja – raja dan pihak bangsawan melanau akan diletakkan dalam jerrunei  iaitu tiang – tiang pengebumian. Menurut Persatuan Melanau Kuching, 2010 (internet), upacara pengebumiaan ini dilakukan pada beratus – ratus tahun dahulu dalam zaman animism iaitu golongan yang menggunakan jerrunei ini dikenali sebagai aristocrat.

Menurut Persatuan Melanau Kuching, 2010 Jerrunei  ini diperbuat daripada pokok kayu yang dikenali Belian yang besar dan cukup matang. Jerrunei yang dipasang mestilah mempunyai ukiran yang ringkas atau biasa dan ada juga ukiran yang bercorak rumit. Segala ukiran yang rumit memakan tempoh yang panjang iaitu tujuh tahun untuk disiapkan. Pada kebiasaannya, ukiran diluar tiang Jerrunei diukir indah dengan bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya tertakluk kepada status pemiliknya. Di samping itu, ketinggian Jerunei melambangkan kedudukan dan darjat pemiliknya. Bukan itu sahaja, ada juga Jerrunei yang diukir dengan bermotifkan alam flora dan buah-buahan seperti nenas dan sebagainya. Biasanya ketinggian Jerrunei ialah dari 12 meter ke 15 meter.


Gambar 1: Jerrunei yang masih tinggal
Sumber: Google Images

Jerrunei  berfungsi sebagai tempat penyimpanan mayat raja atau bangsawan melalui satu lubang besar yang akan digali. Mengikut lagenda, terdapat seorang hamba perempuan dan seorang hamba lelaki akan dikorbankan bersama mayat tersebut dan ditinggalkan sehingga mati kebuluran. Tujuan pekara ini berlaku kerana hamba perempuan tersebut digunakan untuk melayan raja sebagaimana yang dialaminya semasa hidup, manakala roh hamba lelaki pula ditugaskan sebagai pengawal, pelayan dan tukang dayung untuk roh raja atau bangsawan ke dalam perjalanan ke likow matai.  Jerunei adalah kebanggaan mereka sebagai menifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan kekayaan sewaktu hidupnya. Masyarakat Melanau biasa pun turut bangga kerana itulah imej dan keperibadian kaum yang melambang ketamadunan mereka waktu itu.

Apabila golongan aristokrat meninggal dunia maka pelbagai persiapan rancak akan diselenggarakan oleh para penduduk di kampung tersebut. Bagi masyarakat melanau mukah,  kekeluargaan dan amalan sosial amat dititikberatkan. Tambahanpula, sikap mentaati Raja dan pemimpin tidak dapat dinafikan. Itulah budi pekerti kaum Melanau yang ditonjolkan ketika zaman itu. Sebelum proses jerrunei  itu didirikan mengikut adat istiadat kebesaran diadakan, lagu tradisional turut didendangkan untuk diperdengarkan kepada para tetamu. Seterusnya, lubang akan digalikan untuk jerrunei yang berukuran dalam 10 meter tinggi dan 4 meter lebar lilitannya.


 

Maka seterusnya  ketua adat akan memulakan acara untuk menegakkan jerunei itu. Sebelum proses tersebut itu, seorang hamba abdi akan dihunjam ke dalam lubang secara hidup-hidup dimana tempat tiang itu dipacak. Kepercayaan dan pengangan adat yang kuat mengatasi segalanya. Hal ini demikian, masyarakat melanau ketika itu mempercayai bahawa roh si mati sejahtera sampai ke alam lain dan tidak akan mengganggu mereka yang masih hidup. Mayat aristrokrat Melanau yang sudah mati selama tiga hari turut diletak sama di dalam lubang khas itu bersama dengan alat kelengkapan dan barang bernilai sebagai bekalnya di alam lain nanti. Disamping itu, bagi sesiapa daripada golongan aristokrat yang mati lebih awal sebelum siapnya jerrunei maka mayatnya akan disimpan sehingga tinggal rangka tulang sahaja lalu disimpan ke dalam tempayan atau bekas yang besar. Selepas itu, tempayan yang diisi rangka dan tulang tersebut dimasukan ke dalam lubang.

Proses mendirikan jerrunei  ini juga sama dengan proses menjunamkan seorang abdi ke dalam lubang dimana tempat yang dipacakkan jerrunei  tersebut. Selain seorang abdi dijunam ke dalam lubang, akan dipilih lagi seorang abdi untuk menemani si mati. Kebiasaanya abdi yang dipilih itu, adalah pilihan si mati tersebut sewaktu hidupnya untuk teman bergurau apabila si mati berada di alam lain nanti iaitu dunia si mati. Proses kematian si abdi ini berbeza iaitu di ikat dan diletak di ruang atas jerrunei dan dibiarkan mati dalam kehausan dan kelaparan. Pemilik Jerunei itu bukan hanya untuk kalangan aristrokrat kaum lelaki bahkan isteri dan anak-anak mereka juga mengguna jerrunei sebagai perkuburan. Maka rohh-roh si abdilah akan memainkan peranan yang sangat penting untuk menentukan kelancaran hidup roh golongan aristrokrat di alam mati nanti.

Menurut pengkaji sejarah Brodie (1955) dan Croker (1888) menyatakan bahawa hamba abdi akan diikat pada tiang Jerrunei atau ada lubang khas di puncak jerunei sebagai satu pengorbanan. Biasanya jerrunei akan dipacak berdekatan dengan sungai sebab hamba abdi yang dikorbankan akan berasa kehausan dan memohon belas kasihan serta simpati kepada mereka yang berkayuh di sungai si abdi merayu agar kuiskan pengayuh itu dengan deras hingga titik-titik air dapat menghilang kehausan sebelum beliau menemui ajal disana.(maklumat diperolehi daripada Dr. Jeniri Amir 2009). Berdasarkan kepada kajian penggunaan jerrunei atau “keliding” bagi kaum Melanau, “kelirieng” bagi kaum Kayan dan Kajang dan “lijeng” bagi kaum Berawan mempunyai fungsi yang sama iaitu untuk perkuburan golongan aristokrat masing-masing. Kesemua suku kaum tersebut mengamalkan system Beraja dan masyarakatnya mempunyai tingkatan rasa hormat dan taat setia tidak berbelah bagi kepada raja dan pemimpin mereka. Kesemua kaum di atas percaya adanya hidup yang kekal sesudah mati dan tidak akan mati-mati lagi. Mereka juga mempercayai bahawa golongan aristokrat akan membawa kedudukan yang sama apabila berada di alam lain nanti. Jika kita melihat dari segi kedudukan geografinya kaum-kaum yang masih mempercayai sistem ini mendiami kawasan tengah Borneo. 

Namun begitu, penggunaan jerrunei ini telah dihapuskan apabila fahaman dan pengajaran agama mula bertapak di Mukah sama ada agama Islam atau Kristian. Amalan penggurusan kematian mengikut adat jerrunei  tidak lagi diguna pakai dan kali terakhir dibuat jerrunei pada tahun 1880 di Belaga dan orang Melanau di Mukah. Orang Melanau ketika itu mengamalkan sikap tertutup kepada masyarakat luar (closed door attitude). Mereka mula sedar bahawa membunuh manusia walaupun sebagai bahan korban adalah suatu penyiksaan dan dosa yang besar. Di Mukah masih terdapat kesan daripada sejarah jerrunei yang terus berdiri teguh di kawasan Kampung Tellian Tengah, Mukah. Ada diantaranya sudah haus dimamah usia kerana terdedah pada hujan dan terik matahari. 

Menurut Yasir Abdul Rahman (1987), upacara tersebut tidak terhenti begitu sahaja, dalam tempoh tertentu, di bahagian tengah jerrunie itu akan dibuka dan tulang – tulang dimasukkkan ke dalam tempayan khas yang diletakkan di bahagian atas jerrunei. Namun begitu, adat ini tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melanau Mukah pada masa kini. Tiada dokumen yang dapat menerangkan mengenai adat ini secara terperinci. Adat ini kian pupus akibat penaklukan Raja Brooke.

Kembali kepada zaman sekarang, seseorang yang meninggal dunia mayatnya akan diuruskan seperti dimandikan oleh a – bei patai  yang bermaksud keluarga yang terdekat. Setelah mayatnya. Proses pengurusan pengebumian perlu dilakukan secara teratur dengan konsep adat. Menurut buku MELANAU MUKAH Satu Kajian Budaya, mayat tersebut di mandikan oleh keluarga yang terdekat dan mestilah mandikan seluruh badan mayat tersebut menggunakan pinggan lama sebagai gayung. Satu tempat khas disediakan untuk meletakkan mayat yang diperbuat daripada papan dan dahan rumbia. Tempat khas ini dinamakan sebagai Pakat. Di empat penjuru pakat itu diletakkan galah – galah daripada dahan rumbia supaya sehelai kelambu dapat digantung sebagai pelindung mayat. Pakat  ini dilapiskan dengan tikar beban (bembam) manakala diatasanya kain selimut yang disusun dengan beberapa kain sarung dan baju mendiang yang dipakainya sebelum itu.

Pakaian lain akan disusun di atas mayat tersebut diletakkan dua helai kain lagi di atas bahagian dada. Satu set teko, cawan, pinggan, mangkuk disediakan keranadianggap perlu baginya di likow matai.  Setelah mayat  dimandikan, kedua ibu jari kaki mayat akan diikat dan badannya pula diikat dengan secarik kain. Seterusnya, kepala mayat akan ditudung dengan sehelai kain putih yang akan melalui bawah dagu. Mayat tersebut akan disimpan dalam rumah selama tiga hari dan pengebumian akan di lakukan pada petang di antara jam dua petang hingga empat petang. 

Pada hari pengebumian, kaum keluarga terutama pihak perempuan akan berkumpul dekat pakat untuk meratapi dengan nyaring sebagaimana dikehendaki dari segi sosial. Tilam yang biasanya digunakan oleh mendiang akan diletakkan ke dalam keranda kemudian barulah mayat tersebut diturunkan. Dua helai kain lugi yang berada di bahagian dada akan diambil. Sehelai untuk disimpan manakala sehelai lagi akan diletakkan di atas keranda. Rombongan membawa keranda akan diturunkan dari rumah. Namun begitu, sekumpulan orang yang membawa bendera tanda pangkat didahului jika perlu. Pakat dan kelambu akan dibuang tepi jalan. Apabila sampai dikubur, keranda dan ikatan pada mayat akan dibuka. Selepas itu, keranda tersebut akan ditutup. Barang – barang milik mendiang akan ditinggalkan diatas kubur. Lilin atau api kecil akan dinyalakanpada tiap – tiap petang selama tiga hari untuk menerangkan perjalanan roh si mati ke likow matai. Selama tempoh tiga hari, ahli keluarga dilarang keras untuk berjalan keluar dari rumah. Selama tempoh tujuh hari, keluarga tidak dibenarkan mengunjugi rumah orang lain. Selama tempoh itu juga, ramai kawan dan sanak saudara akan mengnjungi rumah keluarga si mati yang merupakan institusi sosial yang sangat penting. Kunjungan ini dinamakan sebagai peligin. Pelawat- pelawat yang datang tidur di rumah ahli keluarga pada malam yang pertama mesti tidur di tempat yang sama untuk tiga malam yang berturut – turut. Semasa peligin ramai datang berkunjung sehingga malam akhir, mereka mengadakan permainan tradisional seperti tataw (teka – teki) bagi menghiburkan hati ahli keluarga yang sedih dan pilu.

Upacara yang dinamakan puyup dan platow akan diadakan untuk menghubungi dan memberi hantaran kepada roh orang yang mati. Upacara ini dijalankan untuk menentukan kebahagiaan roh si mati di likow matai. Upacara puyup melibatkan permainan bersabung ayam bagi bertujuan meningkatkan kedudukan orang mati di likow matai. Kebiasaanyan upacara ini akan dijalankan pada pagi hariyang ketujuh. Ia dimulakan dengan upacara pasei iaitu hidangan air yang dicampur dengan buah payang dan jamuan kuih muih tradisional seperti jejala, bua-ulu, bingka dan lain – lain lagi. Selepas itu, sabung ayam akan dilangsungkan dalam rumah dan darah ayam daripada pertarungan akan disapu pada tiang tengah dalam rumah. Selepas itu, satu rombongan akan turun ke kubur dengankuih muih untuk diberi kepada orang mati dan diletakkan di tepi kubur. Rombongan yang menguruskan upacara ini perlu pulang ke rumah dan dikehendaki mandi dalam sungai.

Selepas itu, jamuan akan dihidangkan kepada mereka yang datang menghadiri upacara puyup. Dalam jamuan ini mereka akan menyembelih seekor sapi atau kerbau. Tidak lupa juga jamuan ini akan diikuti dengan acara bersabung ayam. Pada pukul tiga petang, adat menului buliang akan dijalankan iaitu buliang – buliang digunakan untuk memuatkan persembahan seperti kuih muih, duit dan sebagainya untuk diberi kepada orang yang mengambil bahagian tadi. Selepas upacara untuk mengambil semula kain lugi yang digantungkan menandakan selesai adat tersebut. Upacara tidak terhenti begitu sahaja. Upacara platow akan dijalankan pada waktu malam ketujuh. Upacara ini bertujuan memastikan hadiah – hadiah diterima oleh orang mati dan kerana tujuan – tujuan lain. Upacara ini akan dijalankan oleh a-platow iaitu seseorang yang boleh masuk ke alam khayal dan dapat menemui roh si mati itu. Barang – barang sebagai hadiah ialah kuih- muih, rokok dan juga kain lugi. Tikar dan kemenyan yang dinyalakan. A-platow akan mengigil dan akan terlentang ke atas tikar sebanyak tiga kali sebelum dimasuki ke dalam alam khayal atau likow matai. A-platow akan berjumpa dengan roh dan bercerita dengan roh si mati.

Sesudah upacara ini dijalankan, hantaran atau hadiah tadi akan diberikan kepada roh si mati. A-platow akan memulakan perjalanan pulang ke dunia. A-platow akan memberi tentang pekara yang diberitahu oleh si mati kepada keluarganya untuk menyenhangkan hati mereka. Ganjaran akan diberi kepada a-platow iaitu seekor ayam, sebilah pisau, lembing dan duit. Maka, segala adat kematian masyarakat melanau mukah sudah dijalankan.


3.0        KESIMPULAN

Berdasarkan keterangan di atas dapat diringkaskan bahawa masyarakat Melanau Mukah mempunyai adat kepercayaan tersendiri termasuk kepercayaan terhadap alam dan juga cara keramaian. Masyarakat ini juga mempunyai keistimewaan yang tertentu dan menarik untuk dikaji secara mendalam.

Melalui kajian yang dijalankan saya sebagai pengkaji dapat mengetahui kewujudan dan keunikan budaya masyarakat melanau mukah. Budaya melanau mukah sangat unik dan kompleks untuk difahami dan dikaji. Jika dilihat pada masyarakat melanau mukah ketika zaman dulu, status dan kedudukan sangat penting. Hal ini demikian, golongan bawahan masyarakat melanau mukah mementingkan kepatuhan dan kesetiaan kepada golongan atasan iaitu raja, bangsawan dan lain – lain yang dikenali sebagai golongan aristokrat. Kesetiaan masyarakat zaman dahulu kepada golongan aristokrat sehingga mengabdikan diri mereka untuk menjadi hamba korban mereka.

          Namun begitu, melalui kajian ini kita dapat melihat adat kematian zaman kini mempunyai pencampuran unsur adat atau agama lain seperti Islam dan Kristian yang sangat ketara. Secara umumnya, adat kematian pada masa kini lebih sempurna tanpa ada pengorbanan hamba abdi.


4.0        RUJUKAN

Aloysius J. Dris. (1997). An Overview: The Cultural Future Of The Melanau Community. The Sarawak Museum Journal.Vol. XLVII. Special Issue No.5. Part II. Malay and Melanau Cultural Heritage Seminars II, 1993. Kuching: The Museum

Amran Abdullah & Hamidah Husain. 1993. Adat resam: Siri mengenal Sarawak. Kuching: Pisma.

Dr. Tengku Intan Zarina Bt Tengku Puji .2014. ANALISA TERGHADAP ADAT DAN KEISTIMEWAAN MASYARAKAT MELANAU DI SARAWAK, Seminar Antarabangsa Dakwah & Etnik.

Dzulfawati Haji Hassan; Upacara Kematian Melanau Likow Di Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak Kota Samarahan, 2006,

Hang Tuah Merawin. (2000). Ethical Values Of Sarawak’s Ethnic Group: Pandangan Dunia Melanau Tradisional. Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak: Kuching
Malinowski.1944. Saidatul Nornis Hj. Mahali; Nilai dan Norma Masyarakat di Sabah, Penerbit Universiti Malaysia Sabah

Yasir Abdul Rahman. 1987. Melanau Mukah: Satu Kajian Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahawa dan Pustaka.

Zaini Bin Oje @ Ozea. 1997. Bahasa Melanau Dalam Konteks Perubahan Budaya. The Sarawak Museum Journal.Vol. XLVII. Special Issue No.5. Part II. Malay and Melanau Cultural Heritage Seminars II, 1993. Kuching: The Museum.

Zaini Ozea. 1989. Bahasa Melanau: Suatu Tanggapan Awal. The Sarawak Museum Journal.Vol. XL. Special Issue No.4. Part II. Desember 1989. Kuching: The Museum
“Persatuan Melanau Kuching”(atas talian). https//www.melanaukuching.org/ diakses 26. March. 2015.


Post a Comment